Kuala Lumpur Post

Nation

Sanusi selesai beri keterangan kepada SPRM

PUTRAJAYA — Selepas hampir tiga jam, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selesai memberi keterangan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Kenderaan Mercedes warna perak membawa Muhammad Sanusi dilihat meninggalkan pekarangan ibu pejabat badan pencegahan rasuah itu pada 11.37 pagi tadi.

Bagaimanapun, usaha media untuk mendapatkan reaksi beliau tidak berhasil apabila kenderaan dinaikinya meluncur laju meninggalkan ibu pejabat SPRM.

Terdahulu, beliau hadir pada 8.30 pagi tadi bagi memberi keterangan berhubung isu rasuah sebuah persatuan boleh sepak negeri berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata, pihaknya mengambil kenyataan Muhammad Sanusi.

“(Kenyataan Muhammad Sanusi diambil) lebih kurang tiga jam, 8.30 pagi beliau sampai (ibu pejabat SPRM),” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung perkara itu.

Semalam SPRM dilaporkan akan memanggil Muhammad Sanusi untuk membantu siasatan dakwaan rasuah lebih RM6 juta membabitkan persatuan bola sepak negeri itu.

Perkara itu disahkan Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, hari ini.

Sementara itu, satu sumber berkata, siasatan membabitkan kes rasuah itu dijalankan SPRM selepas menerima laporan daripada kontraktor yang sebelum ini dijanjikan mendapat projek di negeri itu.

Mereka dikatakan dijanjikan projek sekiranya menyalurkan dana ke akaun persatuan bola sepak itu.

Tags: , ,