Nation
108

Sarawak kekal PKPB hingga 26 April : Uggah

Kuching – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan terus dilaksanakan di seluruh Sarawak sehingga 26 April depan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata daerah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong juga kekal di bawah PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga tidak akan dilaksanakan di negeri itu buat masa ini.

“Kebimbangan utama JPBN dalam pelaksanaan PKP adalah kemampuan dan keberkesanan penguatkuasaan di kawasan yang lebih luas.

“Pelaksanaan PKPB dengan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang jelas dan penguatkuasaan yang ketat adalah lebih berkesan dalam mengurangkan dan menghentikan penularan pandemik ini,” katanya pada sidang media harian JPBN di sini hari ini.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di Sarawak melibatkan daerah Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong namun arahan tersebut telah ditarik balik.

Sementara itu, Uggah berkata JPBN pada masa yang sama akan meneruskan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan berisiko tinggi di Sarawak.

Katanya PKPD adalah lebih mudah untuk diurus dan dikuatkuasakan terutamanya di kawasan terkurung atau tertumpu.

Hari ini sebanyak 512 kes baharu COVID-19 dikesan di Sarawak dengan dua kes kematian baharu dilaporkan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu