Nation
127
0

Sarawak sekat import, produk babi dari Sabah

Kuching – Sarawak menghentikan import babi, daging babi dan produk babi dari Sabah berkuat kuasa serta merta susulan berita melaporkan lapan daripada 13 sampel babi dari Pitas, Sabah diuji positif dengan jangkitan virus demam babi Afrika (ASF).

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sekatan itu dibuat di bawah Seksyen 8 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini beliau menasihatkan orang ramai di Sarawak supaya tidak membeli atau membawa masuk babi serta produk babi dari Sabah, atau negara-negara jiran.

“Mereka yang didapati melanggar arahan ini atau mengimport haiwan mahupun produk haiwan ini tanpa permit adalah melakukan kesalahan (di bawah Seksyen 8 Ordinan berkenaan) yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 dan/atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) juga akan mengetatkan langkah-langkah keselamatan bio dalam negeri terutama di bahagian Limbang, yang bersempadan dengan Sabah, di samping meningkatkan pengawasan penyakit ASF di seluruh Sarawak.

“JPVS juga akan meningkatkan kempen kesedaran dan langkah-langkah penguatkuasaan bagi memastikan virus itu tidak memasuki negeri. Sarawak masih bebas daripada jangkitan demam babi Afrika,” katanya.

Uggah berkata JPVS telah menjalankan beberapa sesi libat urus dan kesedaran berhubung ASF dengan pemegang taruh yang berkaitan seperti penternak, pengimport, Malaysia Airport Holdings Berhad, dan juga lain-lain agensi kerajaan yang berkaitan di Sarawak berhubung sekatan itu.

“JPVS akan terus menguatkuasakan Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 bagi memastikan daging babi dan produk babi diimport dari negara-negara yang bebas ASF.

Pada masa ini, Sarawak mempunyai jumlah populasi 30,000 ekor ‘sows’ (babi betina dewasa) yang menghasilkan 455,000 ekor babi setiap tahun. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu