Kuala Lumpur Post

Social

Sarjan polis ditahan rogol pelajar 16 tahun

IPOH — Sarjan polis ditahan kerana disyaki merogol pelajar perempuan berusia 16 tahun, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek, 42, direman selama empat hari sehingga 31 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Kita akan jalankan siasatan dengan telus dan terbaik untuk pastikan keadilan pihak mangsa, waima suspek ialah warga kerja kita sekali pun.

“Selain itu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) juga akan mengambil tindakan dalaman terhadap pegawai terbabit,” katanya kepada pemberita pada Program Kesedaran Kesihatan, Pemakanan dan Gaya Hidup Aktif (HEAL) di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol oleh sarjan polis sebanyak dua kali di dalam kereta, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasar raya dalam daerah Perak Tengah, pada Julai dan Oktober tahun lalu.

Perbuatan itu terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya, baru-baru ini.

Mohd Yusri berkata, mangsa bersama ahli keluarganya sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah untuk dirakam keterangan mengikut Seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Mengulas mengenai program HEAL, beliau berkata, program terbabit dianjurkan lantaran peningkatan rekod kematian dalam kalangan warga PDRM Perak disebabkan komplikasi penyakit pada tahun lalu dan 2022.

“Kebanyakannya melibatkan penyakit jantung, misalnya tiga kematian pada 2022 dan angka itu meningkat kepada 10 kematian pada tahun lalu. Ini diikuti masalah buah pinggang, barah kanser dan juga masalah paru-paru,” katanya.

Mohd Yusri berkata, penganjuran program berkenaan diharapkan dalam memupuk kesedaran dalam warga PDRM berhubung kepentingan penjagaan kesihatan agar pasukan itu mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada usaha memelihara keselamatan dan ketenteraman masyarakat serta negara.

Tags: , , ,