Nation
607

Saya tak tahu Guan Eng jumpa Zarul bincang projek terowong : Bekas Exco

Kuala Lumpur: Bekas Exco Pulau Pinang memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa beliau tidak mengetahui Lim Guan Eng pernah mengadakan pertemuan dengan seorang individu dikenali sebagai Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk berbincang mengenai projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu.

Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada saksi itu mengetahui bahawa Lim telah mengadakan pertemuan dengan individu bernama Zarul di sebuah hotel di ibu kota sebelum berlangsung Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang pada Januari 2011.

Menurut Hock Seng, semasa MMK Negeri Pulau Pinang bertarikh 26 Jan 2011, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu hanya memaklumkan terdapat sebuah syarikat swasta ingin menerokai projek pembinaan terowong di negeri tersebut.

“Dalam mesyuarat itu beliau (Lim) tidak menyatakan berjumpa atau berunding dengan siapa…tetapi cuma menyatakan ada sebuah syarikat hendak terokai pembinaan projek terowong di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari kelima perbicaraan kes rasuah Lim yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu.

Disoal Wan Shaharuddin adakah Zarul adalah individu yang sama, Datuk (Hock Seng) minta nombor telefon daripada Lim dan dia (Zarul) terlibat dalam mesyuarat dan mendapat kontrak (projek pembinaan jalan utama dan terowong), saksi itu menjawab, ‘Memang sama’.

Saksi itu turut mengakui bahawa Zarul juga telah mengikuti rombongan negeri Pulau Pinang ke China.

Hock Seng dalam keterangannya sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Lim memberi nombor telefon dua wakil syarikat pembinaan iaitu Zarul dan Datuk Lee Chee Hoe untuk membincangkan mengenai projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu pada 26 Januari 2011.

Saksi itu juga bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa beliau tidak akan mengenali Zarul dan Lee jika Lim tidak memberi nombor telefon mereka kepadanya.

Sementara itu, Hock Seng bersetuju dengan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Lim bahawa berkongsi nombor telefon adalah perkara biasa.

Gobind: Jika nombor telefon Zarul dan Lee tidak diberikan kepada Datuk (Hock Seng), projek berkenaan tidak dapat dibincangkan, dan saksi itu menjawab: Betul.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung Rabu, lapor Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu