Nation
305

Saya tak terlibat proses lulus projek UMS dengan Asli Jati, ULink Property : Irwan Serigar

Kuala Lumpur – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini beliau tidak terlibat dalam proses penilaian, sokongan mahupun kelulusan dalam projek kerja operasi dan penyelenggaraan bagi sistem mekanikal dan elektrikal di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd dan ULink Property Sdn Bhd.

Mohd Irwan, 64, ketika membacakan penyataan saksinya berkata beliau menandatangani dua dokumen berkaitan projek itu tetapi hanya sekadar pemakluman kepadanya mengenai proses serta tindakan yang dilakukan oleh Bahagian Kontrak, Bahagian Perolehan Kerajaan (BPK) Kementerian Kewangan.

“Saya hanya mengetahui tentang projek tersebut setelah melihat Memorandum Pertimbangan Menteri Kewangan. Jawatan saya selaku Ketua Setiausaha Perbendaharaan perlu mengambil maklum mengenai projek-projek di bawah Kementerian Kewangan.

“Saya tidak menyimpan sebarang dokumen mengenai projek ini kerana ia diuruskan oleh Bahagian Kontrak yang ketika itu diterajui oleh Datuk Hashmuddin Mohamad selaku Setiausaha BPK di kementerian,” katanya.

Saksi kelima pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Francine Cheryl Rajendran pada hari kedua perbicaraan kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu.

Peter adalah Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering manakala ULink Property merupakan anak syarikat milik penuh UMS.

Mohd Irwan turut mengesahkan beliau menandatangani dua memorandum pertimbangan kepada Menteri Kewangan berkenaan permohonan kelulusan bagi projek itu.

“Saya tidak menulis sebarang catatan ke atasnya kerana tidak terlibat dalam membuat keputusan atau proses lain yang terlibat dalam projek tersebut dan saya juga tidak menghantar memorandum ini kepada Menteri Kewangan,” katanya.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa melakukan pemalsuan kepada surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati telah menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen iaitu surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 yang mempunyai pernyataan palsu pada tajuk surat itu dan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu