Nation
1K

Segera tubuh RCI siasat pendedahan Tommy Thomas : UMNO

Kuala Lumpur – Kerajaan perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan.

Perkara itu antara beberapa panduan utama dibincang dan dipersetujui bersama pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan Naib Presiden UMNO.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain itu, kerajaan juga perlu terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional.

“Ini memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Zahid berkata UMNO mendukung penuh pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan akan membantu beliau bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.

“Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus,” katanya.

Ahmad Zahid berkata UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan termasuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti serta campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang.

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO itu bermula pada 8.30 malam dan merupakan yang pertama diadakan selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 21 Ogos lepas.

Antara yang hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin serta Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu