Nation
493

Sejuta warga emas terima suntikan vaksin : Rina Harun

Seremban – Kira-kira sejuta warga emas di seluruh negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan setakat ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 229,462 lengkap dua dos suntikan vaksin manakala selebihnya menerima suntikan pertama sejak fasa kedua program vaksinasi berkenaan yang mengutamakan golongan warga emas, dimulakan pada April lepas.

“Secara keseluruhan 60 peratus daripada 3.5 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas telah membuat pendaftaran mendapatkan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita sudah nampak peningkatan mereka untuk menerima vaksin, ini menunjukkan kesedaran rakyat bukan sahaja mendaftar tetapi menerima vaksin,” katanya kepada pemberita selepas melawat Institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Jagaan Warga Emas Rumah Sejahtera, Sikamat di sini hari ini.

Mengenai kesesuaian jenis vaksin untuk golongan berkenaan, beliau berkata setiap warga emas akan diberikan penjelasan oleh pakar kesihatan yang berada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Menurut beliau, kementeriannya melalui agensi berkaitan juga sedang mengenal pasti kaedah terbaik bagi mengesan warga emas yang terlantar di rumah untuk diberikan suntikan vaksin tersebut.

Rina turut menggesa setiap lapisan masyarakat memainkan peranan dan perlu lebih agresif bagi memberi galakan kepada 40 peratus lagi golongan tersebut untuk membuat pendaftaran suntikan vaksin.

Beliau berkata ahli keluarga, komuniti serta badan bukan kerajaan (NGO) perlu melaksanakan pendekatan ‘whole of society’ bagi memastikan maklumat berkaitan program vaksinasi itu sampai kepada warga emas.

Mengenai program hari ini, Rina berkata petugas di pusat jagaan warga emas berkenaan turut menerima suntikan vaksin tersebut. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu