Politics
285

Sekarang bukan masa bincang logo parti, kata DAP kepada AMK

Seremban – Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook berpendapat sekarang bukan masa yang sesuai bagi membincangkan isu penggunaan logo untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebaliknya fokus perlu diletakkan sepenuhnya ke arah membantu rakyat.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan secara terperinci dalam pemukiman Pakatan Harapan (PH) pada April lepas dan semua parti komponen PH sudah mencapai persefahaman umum mengenainya.

“Tidak perlulah mana-mana pihak mengungkit perkara ini secara terbuka selain bertelagah antara satu sama lain, ia tidak akan kemana-mana.

“Apabila tiba masanya, Majlis Presiden PH akan membuat keputusan bersama dalam perkara ini. Soal strategi pilihan raya dan logo apa yang paling ‘winnable’ boleh dibincangkan kemudian hari,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebooknya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nasional Akmal Nasrullah Md Nasir semalam untuk menggunakan logo PKR bagi mewakili PH dalam PRU15, sekali gus menggembleng kekuatan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada PH.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata pada masa ini, pemimpin PH perlu memainkan peranan supaya setiap rakyat memperoleh vaksin dengan segera dan memastikan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka selain menyelesaikan isu pengangkutan ke PPV. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu