Social
175

Seks luar tabii: Seorang lelaki tarik balik permohonan semakan kehakiman

Kuala Lumpur – Seorang lelaki berusia 35 tahun hari ini menarik balik permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor yang mendakwanya atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Peguam Tay Kit Hoo yang mewakili lelaki itu berkata pihaknya menarik balik permohonan itu berikutan anak guamnya telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 19 April lepas atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor.

“Tiada bantahan daripada Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Husna Abdul Halim yang mewakili responden pertama dan kedua (Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor) terhadap permohonan itu.

“Mahkamah membatalkan permohonan semakan kehakiman tanpa perintah terhadap kos,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Firdaus Sidqi Sharil Azli hari ini.

Pada 16 Jan tahun lepas, lelaki tersebut memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding semakan kehakiman itu.

Lelaki itu memfailkan permohonan tersebut pada 20 Nov 2019, antaranya memohon deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bercanggah dengan Artikel-Artikel 5 (1), 8 dan 10, Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu ia batal dan tidak sah.

Dalam permohonan itu, lelaki terbabit juga memohon perintah certiorari selaras dengan Aturan 53 Kaedah 8 (2), Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 untuk memasukkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Negeri Selangor yang mendakwanya di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 dibatalkan serta-merta.

Pada 25 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan pengisytiharan dipohon lelaki itu bahawa Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii, adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu