Nation
96

Sektor pelancongan Kelantan rugi RM2.6 bilion

Kota Bharu – Sektor pelancongan Kelantan mengalami kerugian RM2.6 bilion tahun lepas susulan pandemik COVID-19, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman.

Beliau berkata penularan wabak itu menyebabkan kekurangan kemasukan pelancong ke negeri itu, memandangkan pergerakan telah dihadkan sehingga memberi impak besar iaitu penyusutan 2.5 juta pelancong pada tahun lepas.

Md Anizam berkata demikian semasa sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) yang ingin tahu apakah status serta anggaran kerugian sektor pelancongan Kelantan, akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Mengulas lanjut, Md Anizam berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM724,750 bagi membantu pemain industri yang terkesan, antaranya pihak hotel, pemilik inap desa, pemandu pelancong dan sebagainya.

“Antara bantuan yang kita berikan termasuk bantuan sanitasi kepada hotel yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di negeri ini, wang tunai RM1,000 masing-masing kepada agensi pelancongan, penggiat seni, pemandu beca dan sebagainya.

“Di samping sumbangan kerajaan negeri, kita juga menerima bantuan daripada Kerajaan Pusat yang bantu untuk meringankan beban pemain industri,” katanya.

Beliau turut berkata kerajaan negeri menerusi gelembung pelancongan membuat pelbagai promosi termasuk secara maya bagi memajukan semula sektor pelancongan tempatan, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu