Nation
257

Sektor perkilangan rekodkan kluster Covid-19 terbesar di Selangor

Putrajaya – Sektor perkilangan merekodkan kluster terbesar bagi kes COVID-19 di Selangor dengan 96 kluster atau 54 peratus daripada jumlah kluster yang direkodkan dalam tempoh 1 hingga 31 Julai lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata ia diikuti sektor perkhidmatan dengan 22 kluster atau 12 peratus dan sektor tapak bina dengan 18 kluster atau 10 peratus.

“Terdapat sembilan kluster komuniti yang dilaporkan atau lima peratus, namun kesemuanya adalah kluster yang berlaku sebelum perayaan Hari Raya Aidiladha,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Ditanya tentang jangkitan di sektor perkilangan yang mencetuskan penularan dalam komuniti, Dr Sha’ari berkata ia tiada kaitan kerana didapati transmisi berlaku di asrama dan tempat tinggal pekerja.

“Pemeriksaan di kilang mendapati pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat bagus tetapi pekerja juga harus ikut SOP selepas habis bekerja bagi mengelak transmisi dari asrama atau rumah ke tempat kerja,” katanya.

Menjelaskan situasi di Selangor, Dr Sha’ari berkata sebanyak 65 peratus kes adalah tidak bergejala manakala 30 hingga 35 peratus adalah kes bergejala dengan kebanyakan di kategori tiga.

Kes kategori tiga merujuk kepada radang paru-paru tetapi tidak memerlukan oksigen.

Beliau berkata kontak rapat adalah penyumbang terbesar kepada situasi di Selangor iaitu 40 peratus, diikuti 22 peratus melibatkan kes bergejala, 20 peratus dalam kalangan pekerja dan 14 peratus bukan dalam kalangan pekerja.

Katanya peningkatan kes di Selangor telah dilihat sejak sebelum bermula Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai lepas dan ia selaras dengan peningkatan jumlah saringan yang dijalankan.

“Antara punca berlakunya peningkatan saringan di Selangor adalah kerana terdapatnya kesedaran yang meluas dalam kalangan orang awam di Selangor untuk segera melakukan ujian, terutamanya di fasiliti swasta iaitu 85 peratus ujian saringan harian yang dijalankan di Selangor adalah dilakukan di fasiliti swasta,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu