Kuala Lumpur Post

Nation

Selangor beri insentif RM1,000 kepada ibu bekerja ringan kos penjagaan anak

SHAH ALAM — Seramai 5,000 ibu bekerja yang layak di Selangor boleh memohon Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja (MamaKerja) mulai 1 Nov ini untuk menikmati RM1,000 secara sekali bayar bagi meringankan bebanan kos penjagaan anak.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi Selangkah dengan beberapa syarat kelayakan ditetapkan termasuk mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak berumur 12 tahun ke bawah dan berpendapatan isi rumah RM8,000 ke bawah.

“Mereka yang layak akan menerima bantuan tunai ke akaun masing-masing dalam tempoh 14 hari bekerja selepas status permohonan berjaya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran insentif berkenaan di sini hari ini.

Syarat lain dan dokumen sokongan yang diperlukan serta maklumat lanjut berkenaan inisiatif itu boleh didapati menerusi laman sesawang https://mamakerja.selangkah.my/ atau menghubungi talian hotline Selcare 1-800-22-6600.

Menurut Anfaal statistik terkini daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh di Selangor adalah 69.9 peratus berbanding lelaki sebanyak 83.5 peratus.

Selain itu, katanya Kajian Merdeka Centre dan The Asia Foundation di negeri itu pada 2020-2022 menunjukkan wanita bekerja menghadapi cabaran kos penjagaan anak yang tinggi.

Beliau berkata Insentif MamaKerja yang melibatkan peruntukan berjumlah RM5 juta itu merupakan antara strategi kerajaan negeri bagi menyokong penglibatan wanita dalam tenaga buruh selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), “Mempertingkatkan Inklusiviti Sosial dan Kesejahteraan Rakyat” dengan tumpuan khas diberikan kepada golongan wanita dan institusi keluarga.

Anfaal berkata RS-1 menggariskan tidak kurang 12 program yang menyokong pembangunan dan kesejahteraan institusi keluarga di Selangor termasuk insentif program penjagaan kanak-kanak di tadika bagi keluarga B40 (Asuh Pintar), insentif pendidikan kanak-kanak di tadika (Tunas) dan insentif pendidikan dan terapi kepada anak-anak istimewa (Bantuan Khas dan Didik Anis) yang memanfaatkan lebih 20,000 penerima.

Tags: ,