Nation
368

Selangor tegas perangi rasuah, salah guna kuasa : Amirudin

Shah Alam – Kerajaan Negeri Selangor serius dan tegas dalam memerangi rasuah serta penyalahgunaan kuasa berikutan penahanan reman beberapa pegawai perkhidmatan awam di negeri itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terkait isu rasuah.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya juga sedang mengikuti dengan dekat beberapa jabatan yang berkenaan serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang didapati bersalah.

“Kerajaan Selangor ingin menegaskan serta mengulangi tekad yang pernah dinyatakan sebelum ini bahawa ia sesekali tidak berkompromi dengan kesalahan rasuah serta penyelewengan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata sepanjang siasatan dijalankan oleh SPRM atau pihak berkuasa, beliau menegaskan sejajar dengan konsep kedaulatan undang-undang bahawa tiada sesiapa dianggap bersalah sehingga terbukti bersalah dan menghormati proses yang sedang berjalan serta kekal menjunjung prinsip ketelusan.

Semalam, di Mahkamah Majistret Putrajaya dua lagi individu iaitu seorang pegawai daerah dan seorang juruukur bahan direman selama lima hari bermula semalam, susulan penahanan tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran di Selangor dan seorang kontraktor pada Jumaat disyaki menerima rasuah daripada kontraktor.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) individu terbabit dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang merupakan sindiket kartel projek, bagi membolot projek-projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu