Nation
202
0

Selangor umum tiga inisiatif bendung COVID-19

Shah Alam – Kerajaan negeri Selangor melaksanakan tiga inisiatif dalam membendung penularan pandemik COVID-19 termasuk program isolasi pekerja Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sehingga hari ini seramai 9,056 iaitu 82 peratus daripada 11,000 pekerja tempatan dan warga asing di bahagian kargo telah menjalani ujian saringan COVID-19 dengan hanya tujuh kes, kesemuanya warga tempatan, dikesan positif sejak Khamis lalu.

“Kos saringan akan ditanggung oleh pihak syarikat manakala kos penempatan dalam program isolasi pekerja dari 26 Nov hingga 9 Dis depan akan ditanggung separuh oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata inisiatif kedua pula ialah mengenal pasti lima lokaliti bagi menempatkan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19 dan ketiga meningkatkan penyelarasan dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera.

Katanya, PKRC adalah bagi menempatkan pesakit positif yang tidak bergejala (asymptomatic) supaya dapat mengurangkan bebanan dan kepadatan pesakit di hospital COVID-19 sedia ada.

Bagi usaha terakhir, Amirudin berkata kerajaan negeri mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk membuat penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta PKD agar saringan pekerja asing dilakukan dengan kadar segera.

Langkah itu dilaksanakan seperti yang telah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata walaupun berlakunya peningkatan kes COVID-19 di negeri ini, namun keadaan masih lagi terkawal.

“Ini kerana kes-kes terbaru itu didapati di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan kerajaan negeri percaya bahawa pelaksanaan langkah tersebut akan dapat mengurangkan risiko penyebaran wabak itu.

“Semua inisiatif yang disebutkan memperlihatkan komitmen serius kerajaan negeri dalam usaha menjamin penularan pandemik ini dapat dikawal dan dikekang sepenuhnya,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu