Nation
468

Selesai sebelum tengah hari atau buka puasa di Mahkamah : Hakim

Putrajaya  – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak diminta berpegang kepada janji untuk melengkapkan hujahan menjelang esok berhubung kes rayuan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan bekas perdana menteri itu.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata pasukan pembelaan itu perlu mengakhiri hujahan mereka sebelum tengah hari esok.

Hakim berkata: “Selesaikan hujahan anda menjelang tengah hari dan jika tidak anda perlu berbuka puasa di sini,” katanya yang mengundang ketawa daripada mereka yang berada di mahkamah.

Pihak pembelaan sepatutnya mengakhiri hujahan mereka Khamis lalu tetapi memohon tambahan sehari untuk berbuat demikian pada hari ini.

Bagaimanapun, pendengaran diteruskan sehingga 4.30 petang ini dan peguam Najib, Farhan Read berkata beliau memerlukan sedikit masa lagi untuk menyelesaikan hujahannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berkata permintaan tersebut akan memendekkan tempoh masa yang diperuntukan kepada hujahan pihak pendakwaan.

”Mereka diberi enam hari dan saya hanya tiga hari. Mereka perlu melengkapkan hujahan mereka menjelang esok dan kami akan memulakan hujahan kami pada Rabu ini,” katanya.

Terdahulu, Farhan berkata Najib tidak mempunyai kepentingan khusus dalam SRC apabila jaminan kerajaan diluluskan.

Pihak pembelaan berhujah bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan Najib terlibat atau mempunyai pengetahuan mengenai RM42 juta yang dipindahkan daripada SRC ke akaun bekas perdana menteri itu.

Ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai penggunaan wang tersebut, seorang lagi peguam Najib, Harvinderjit Singh menegaskan bahawa 98 peratus daripadanya digunakan sebagai sumbangan kepada parti politik, inisiatif tanggungjawab sosiopolitik korporat dan sumbangan kepada badan amal dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Dalam hal ini, penggunaan dana adalah konsisten dengan anggapan bahawa wang dalam akaunnya adalah daripada sumber yang sah,” katanya di hadapan hakim Abdul Karim yang mempengerusikan panel rayuan bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Pada 28 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib selepas dia didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.

Bagaimanapun, Najib, 67, dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu rayuan kes itu selesai.

Hujahan rayuan bersambung esok. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu