Social
223
0

Seludup dadah, 3 rakyat Malaysia ditahan di Australia

Kuala Lumpur – Tiga rakyat Malaysia ditahan dan didakwa di mahkamah Australia susulan kejayaan pihak berkuasa negara itu mematahkan cubaan menyeludup lapan kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dalam penapis air ke Melbourne, tahun lalu.

Dua suspek berusia 29 tahun dan 26 tahun ditahan susulan serbuan terhadap beberapa lokasi di Docklands dan Melbourne antara 20 Januari sehingga Rabu lalu.

Kejayaan itu adalah hasil operasi bersepadu Icarus oleh pasukan Polis Persekutuan Australia (AFP), Polis Victoria dan Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Menerusi operasi bermula Oktober tahun lalu, pihak berkuasa Australia terlebih dahulu menahan seorang rakyat Malaysia berusia 27 tahun atas kesalahan sama.

ABF dalam kenyataan hari ini, memaklumkan polis turut merampas 19 kg bahan 1,4-Butanediol, 22 kg methamphetamine serta 20 kg methyl alpha-phenylacetoacetate (bahan prekursor untuk amphetamine dan methamphetamine).

Rampasan lain termasuk wang tunai berjumlah AUD147,000 (RM459,363), tujuh telefon bimbit dan sejumlah kad SIM.

“Suspek yang berusia 29 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Melbourne pada 21 Januari lalu mengikut Akta Dadah, Racun dan Bahan Terkawal 1981 atas cubaan membawa masuk secara haram bahan 1,4-Butanediol.

“Dia juga didakwa mengikut Kanun Jenayah Komanwel kerana cuba menyeludup dan memiliki secara haram dadah kawalan jenis methamphetamine,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, suspek kini direman untuk sebutan semula kes pada 12 Mei ini.

Sementara itu, katanya, suspek yang berusia 26 tahun didakwa di mahkamah sama, kelmarin dan kini direman sehingga sebutan semula kes pada 27 Mei ini.

“Suspek didakwa mengikut Kanun Jenayah Komanwel kerana cuba menyeludup dadah kawalan jenis methamphetamine serta enggan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa untuk mengakses telefon bimbitnya.

“Jika didapati bersalah, kedua-dua suspek berhadapan hukuman maksimum penjara selama 25 tahun yang diperuntukkan Kanun Jenayah Komanwel,” kata kenyataan, itu.

Katanya, dakwaan terhadap suspek pertama yang sudah pun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada 26 Oktober lalu dan permohonan ikat jamin ke atasnya ditolak. Kesnya akan disebut semula pada 22 Mac ini.

Menurutnya, AFP bersama Polis Victoria dan ABF memulakan siasatan selepas pegawai ABF mengesan kiriman barangan yang mencurigakan terdiri daripada penapis air yang dihantar dari Vancouver, Kanada ke Melbourne, Australia pada 27 September tahun lalu. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu