Nation
137

Semua agensi KSM diminta kaji, kenal pasti cabaran IR4.0

Kuala Lumpur – Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah meminta semua agensi dibawahnya mengkaji bagi mengenal pasti cabaran masa hadapan seiring kesiapsiagaan mendepani Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Menterinya Datuk Seri M. Saravanan berkata langkah itu bagi melahirkan modal insan yang lebih kompetitif, kompeten serta bertaraf antarabangsa apabila negara ini termasuk seluruh dunia menuju ke arah pembangunan pesat.

“Ini bukan sahaja isu-isu pengangguran tetapi lebih kepada menyediakan modal insan yang kompetitif sebab kita tidak tahu apakah cabaran masa hadapan.

“Ini kerana negara dan dunia sedang menghadapi IR4.0, mungkin ramai antara kita akan hidup dalam satu dunia yang kita tidak boleh bayangkan (ketika ini),” katanya pada sidang media selepas majlis memorandum persefahaman (MoU) antara TalentCorp Malaysia Berhad (TalentCorp) dan MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp), di sini hari ini.

Beliau berkata bagi tujuan itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bukan sahaja perlu mengkaji cabaran akan datang, malah turut bertanggungjawab mengenal pasti jaringan keselamatan yang sewajarnya terhadap tenaga buruh tempatan.

Beliau berkata Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan TalentCorp perlu mengenal pasti peluang-peluang untuk masa hadapan dan kemungkinan pekerjaan yang sedia ada sekarang ini akan hilang apabila negara mencapai IR4.0.

Terdahulu, beliau bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid menyaksikan pemeteraian MoU antara TalentCorp dan MARACorp, iaitu jalinan kerjasama untuk memudah cara transisi graduan Majlis Amanah Rakyat (MARA) ke pasaran.

Saravanan berkata MoU itu selari dengan komitmen KSM untuk mengukuhkan pasaran tenaga kerja tempatan daripada gangguan semasa dan masa hadapan malah ia juga selaras dengan objektif strategik Rancangan Malaysia Ke-12 bagi mempersiap Keluarga Malaysia bangkit dalam pascapandemik COVID-19.

Sementara itu, Mahdzir berkata sinergi antara dua agensi berkenaan menyasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan yang terdiri daripada pelajar Institusi Pendidikan MARA termasuk pelajar di bawah tajaan MARA.

“Kerjasama ini mampu menjadi penghubung laluan kerjaya graduan MARA dengan jaringan syarikat dalam pelbagai industri serta menyediakan satu ruang kerjaya yang lebih signifikan dengan peluang lebih baik ditawarkan kepada para pelajar,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu