Kuala Lumpur Post

Social

Semua mangsa tanah runtuh Cameron Highlands disahkan warga Myanmar

KUANTAN — Kesemua mangsa kejadian tanah runtuh di Kampung Batu 59, Kampung Raja, Cameron Highlands, disahkan warga Myanmar.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Cameron Highlands menyenaraikan mereka dikenali sebagai Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25 tahun.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands menerima laporan pada jam 2.10 pagi Jumaat dan bergegas ke lokasi bagi pemeriksaan dan mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Pemeriksaan mendapati tempat kejadian telah terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda untuk ke lokasi,” menurut jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, berkata pihaknya telah menggerakkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dan unit anjing pengesan (K9) ke lokasi kejadian.

Turut digerakkan ialah bantuan pasukan khas dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kesemua mangsa dipercayai mendiami sebuah rumah yang telah dihempap dalam tanah runtuh itu, dengan seorang daripadanya dikatakan wanita,” katanya.

Wan Mohammad Zaidi berkata seorang daripada mangsa ditemukan meninggal dunia pada 6.27 pagi, namun setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya juga menerima laporan kes tanah runtuh di Ulu Sungai Palas, Cameron Highlands pada jam 9.33 malam tadi, namun tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kemusnahan harta benda.

Tags: , ,