Nation
92

Semua operasi Puspakom di Selangor ditutup kecuali Sungai Besar

Shah Alam – Semua Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom ) di Selangor kecuali di Sungai Besar ditutup operasinya sehingga 16 Julai ini berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dalam satu kenyataan hari ini, pusat berkenaan memaklumkan penutupan itu turut meliputi Perkhidmatan Bergerak di Lembah Klang, manakala Puspakom Seremban juga tidak beroperasi sehingga 22 Julai atas sebab yang sama.

“Bagi pelanggan yang telah membuat janji temu di cawangan Puspakom yang tidak beroperasi, bayaran janji temu akan dikembalikan secara automatik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua Pusat Pemeriksaan Puspakom di seluruh negara termasuk Perkhidmatan Bergerak yang tidak berada di dalam kawasan PKPD kekal beroperasi seperti biasa.

Namun, tiada pemeriksaan secara “walk-in” di pusat pemeriksaan yang beroperasi, sebaliknya hanya pelanggan yang mempunyai janji temu sahaja dibenarkan untuk melakukan pemeriksaan kenderaan mengikut tarikh, masa dan tempat yang telah dipilih.

Mereka yang hadir semasa pemeriksaan disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengimbas MySejahtera sebelum memasuki premis berkenaan.

Segala perubahan tentang operasi Puspakom sama ada beroperasi semula atau sebaliknya adalah berdasarkan pengumuman terkini kerajaan dan orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu