Nation
73

Semua sekolah dalam zon merah Sarawak diarah tutup : Abang Johari

Kuching – Kerajaan Sarawak mengarahkan semua sekolah yang berada dalam zon merah di negeri ini ditutup selama 14 hari mulai esok, susulan trend peningkatan kes jangkitan baharu COVID-19 di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu diputuskan selepas membuat penilaian mengenai jangkitan di kawasan sekolah yang boleh berjangkit kepada pelajar, ibu bapa dan guru.

“Demi kesihatan anak dan masyarakat setempat, kerajaan Sarawak memutuskan untuk menutup semua sekolah di kawasan merah,” katanya pada sidang media khas penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Setakat semalam sebanyak 18 daerah di Sarawak masih berada dalam zon merah dengan jumlah keseluruhan jangkitan mencecah 508 kes baharu.

Mengulas tindakan Sarawak melaksanakan Perintah kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berbanding Perintah kawalan Pergerakan (PKP), beliau berkata penilaian lapangan yang dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) ini mendapati penguatkuasaan PKP agak sukar untuk dilaksanakan buat masa ini.

Menurut Abang Johari, seandainya Sarawak menguatkuasakan PKP, ia hanya akan membebankan banyak industri dan ramai rakyat Sarawak akan hilang pekerjaan dan dihimpit dengan kesukaran hidup.

“Setelah mempertimbangkan semua isu dan menilai risikonya, JPBN telah memutuskan untuk terus melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah yang disasarkan kerana langkah ini terbukti berhasil (seperti dilaksanakan) di rumah panjang, kawasan kejiranan dan tempat kerja sebelum ini,” katanya.

Berhubung rancangan pelaksanaan vaksinasi, Abang Johari berkata Sarawak berada di landasan yang betul dan beliau telah menubuhkan Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCOVAG) untuk beri nasihat kepada kerajaan negeri mengenai berita vaksin global.

“Untuk pembekalan vaksin, saya telah memberi lampu hijau kepada Sarawak untuk membeli vaksin yang mencukupi bagi mempercepatkan lagi liputan imunisasi bagi rakyat Sarawak,” katanya.

Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sarawak bermula hari ini di Bahagian Sibu dengan memberi tumpuan kepada warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi, manakala Fasa Ketiga akan bermula pada Mei 2021 tertakluk kepada bekalan vaksin. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu