KUALA LUMPUR — Polis mengesahkan penahanan seorang lagi anak kepada pengerusi yang juga ketua pegawai eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad, awal pagi tadi.
Kedua-dua lelaki berusia 32 tahun itu antara tujuh individu yang ditahan menerusi Op Global di empat lokasi berasingan di Temerloh, Pahang; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Menurut Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula 11 malam tadi sehingga 4.07 pagi.
“Kesemua individu ditahan berusia antara 32 sehingga 35 tahun adalah Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH.
Penahanan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, katanya kepada pemberita hari ini, menurut Harian Metro.
Razarudin berkata penahanan terbaru itu menjadikan keseluruhan yang ditahan adalah seramai 31 orang, untuk membantu siasatan pelbagai kes yang dikaitkan dengan rumah amal kendalian GISBH.
Beliau berkata, semua tujuh suspek direman sehingga 26 September ini selepas Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan permohonan polis.
Katanya, soal siasat awal masih dijalankan dan kesemua suspek dimasukkan ke dalam Lokap Berpusat Shah Alam.
Semalam dilaporkan seramai 19 individu termasuk pengerusi yang juga CEO GISBH bergelar Datuk ditahan menerusi Op Global bagi membantu siasatan yang dihadapi syarikat berkenaan.
Turut ditahan isteri dan dua anaknya serta anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.
Ia susulan penahanan lima individu termasuk dua anak pengerusi GISBH ketika cuba keluar dari negara ini di Bukit Kayu Hitam, Kedah.