Social
161

Seorang lagi direman kes suapan babit kontrak RM180,000

Shah Alam – Seorang lagi individu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima wang suapan daripada pemilik sebuah syarikat swasta sebagai balasan mendapatkan kontrak bernilai lebih RM180,000.

Perintah reman hingga 15 Okt ke atas suspek lelaki berumur 57 tahun yang juga kakitangan sebuah agensi kerajaan itu dikeluarkan oleh Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semalam, dua penjawat awam termasuk seorang wanita berumur 37 dan 40 tahun dari sebuah agensi kerajaan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Isnin lepas, SPRM menahan dua kakitangan sebuah agensi kerajaan terbabit dan menurut sumber, mereka disyaki meminta wang suapan kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk syarikat itu mendapatkan kontrak membekal, menghantar serta memasang kelengkapan dan peralatan pejabat yang dianggarkan bernilai lebih RM180,000 daripada agensi berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Di mahkamah sama, Majistret Fatina Amyra mengeluarkan perintah reman selama lima hari hingga 17 Okt ini terhadap seorang penolong pegawai sebuah agensi perladangan berumur 41 tahun bagi membantu siasatan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM15,000.

Menurut sumber, suspek lelaki yang bertugas sebagai pengurus perniagaan agensi sama di kawasan Klang pada 2018, telah bersubahat dengan seorang pemilik syarikat bagi mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan pasir sungai dan tanah kepada agensi perladangan tersebut, sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, lapor Bernama.

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu