Kuala Lumpur Post

Social

Seorang lagi tahanan lolos maut kemalangan

TAPAH — Seorang lagi tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor pada malam Khamis lalu, maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 332.5 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian kemalangan terbabit daripada orang awam pada 9.20 malam.

Katanya, kemalangan berkenaan membabitkan sebuah pacuan empat roda dengan seorang pejalan kaki.

“Akibat kemalangan terbabit, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat.

“Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hadir ke hospital berkenaan dan mengesahkan mangsa adalah salah seorang tahanan yang lolos dari depot pada malam Khamis lalu, ” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Yusri berkata, orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil membantu pihak polis.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor P Prathiparaj, di talian 014-6178095.