Kuala Lumpur Post

Social

Serpihan tulang manusia ditemui dalam parit

SUNGAI PETANI — Serpihan tulang manusia bersama rangka motosikal ditemui dalam sebuah parit di kawasan ladang kelapa sawit, di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah mengesahkan perkembangan itu.

Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.27 petang untuk mengambil mayat di lokasi.

Katanya, sepasukan anggota dari BBP Aman Jaya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Rashid Mamat bersama enam anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.

“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melaporkan terdapat mangsa, dipercayai lelaki lingkungan 50an meninggal dunia dalam parit berkenaan.

“Operasi mengambil mayat agak sukar memandangkan keadaan hujan lebat yang menyebabkan mangsa hanyut dalam arus deras.

“Tindakan operasi terkini adalah dengan membuat pencarian di permukaan air dan darat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azahari berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengarahkan bantuan dari BBP Sungai Petani untuk menghantar bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan pencahayaan.

Katanya, pada jam 10.12 malam tadi, PKO melaporkan menemui rangka motosikal dan serpihan tulang dipercayai milik mangsa ketika melakukan rondaan.

“Pihak kami kemudian memaklumkan kepada polis untuk membantu di lokasi kejadian selain tindakan lanjut yang perlu diambil,” katanya.