Nation
145

Sesi persekolahan diteruskan : Radzi

Putrajaya – Kementerian Pendidikan (KPM) komited meneruskan sesi persekolahan kerana prosedur operasi standard (SOP) di sekolah diyakini dapat mengawal penularan COVID-19, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, data yang diperoleh jelas menunjukkan bahawa sekolah adalah selamat dan bukan tempat pencetus kluster COVID-19 seperti yang dikatakan pelbagai pihak.

Data terkini Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan daripada 99 kluster pendidikan, 52 daripadanya adalah membabitkan sekolah di bawah KPM dengan 2,274 kes.

“Ia adalah 4.8 peratus daripada keseluruhan kluster atau 2.07 peratus daripada kes kluster.

“Daripada kes itu 1.42 peratus atau 1,559 kes melibatkan sekolah berasrama dan hanya 0.53 peratus atau 585 kes membabitkan sekolah bukan asrama, tidak sampai satu peratus pun,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Terdahulu menurut KKM setakat ini 60.8 peratus kes COVID-19 di Malaysia adalah kes sporadik dan baki 39.2 peratus melibatkan kes kluster.

“Jika kita lihat 60.8 peratus kes sporadik, dalam konteks ini, kanak-kanak terdedah (kepada COVID-19) di mana-mana saja, cumanya dalam keadaan di sekolah murid-murid berada dalam keadaan terkawal kerana SOP memang telah ditetapkan, bukan kita katakan yang kita ini sempurna (perfect) tetapi kita akan sedaya upaya memastikan jangkitan di sekolah dapat diminimakan dengan SOP yang kita tetapkan,” katanya.

Radzi berkata bagi memperketatkan pematuhan SOP di asrama, pihaknya akan menambah baik langkah-langkah pematuhan SOP melalui pasukan petugas khas yang ditubuhkan.

Bagaimanapun menurutnya arahan penutupan sekolah akan dilaksanakan jika keadaan bertambah buruk dan mendapat arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Setakat ini katanya SOP sekolah yang disahkan mempunyai kes positif diselaraskan iaitu ditutup dua hari dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) melaksanakan penilaian risiko sama ada untuk melanjutkan penutupan itu atau tidak.

Ia juga bagi PKD melaksanakan pengesanan kontak rapat dan memantau kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

Radzi berkata, bagi kawasan zon merah dan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali PKP Diperketatkan (PKPD) sekolah tidak akan ditutup, namun kerajaan negeri boleh berbincang dengan kementerian jika risiko jangkitan memerlukan sekolah di sesuatu lokaliti ditutup dengan penilaian risiko daripada KKM.

Beliau turut berkongsi peratusan kehadiran ke sekolah sejak 1 Mac hingga 23 April iaitu 90.26 peratus yang disifatkan tinggi.

“Ini bermakna ketika murid telah masuk ke sekolah walaupun kes tinggi, keadaan pembelajaran berlangsung dengan baik dan dalam keadaan yang selamat.

“Apabila kita turun ke bawah dan tanya anak-anak, mereka ‘excited’ ke sekolah. Guru-guru juga boleh lihat tahap penguasaan murid-murid, mereka menggunakan masa yang ada ini untuk membawa murid-murid ke tahap penguasaan minima, ibu-bapa juga mahu anak-anak ke sekolah,” katanya.

Keputusan untuk menutup sekolah pada ketika ini mungkin satu keputusan yang mudah, tetapi mungkin bukan satu keputusan yang tepat.

“Kalau kita pilih jalan mudah, itu (tutup sekolah) memang jalan mudah. Tetapi KPM berpandangan ‘mari kita lakukan perkara yang betul’. Adakah menutup sekolah keputusan yang tepat (pada masa ini)? Kita perlu buat keputusan berdasarkan data dan analisa,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu