Nation
657

Shafee didakwa sembunyi RM9.5 juta yuran guaman dari LHDN

Kuala Lumpur – Pihak pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram melibatkan peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah akan membuktikan beliau telah menerima yuran guaman berjumlah RM9.5 juta namun secara sengaja menyembunyikan fakta tersebut daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mahkamah Tinggi di sini yang mula bersidang mendengar perbicaraan terhadap tertuduh turut diberitahu, Muhammad Shafee memberikan versi yang tidak konsisten ketika menyatakan alasan di sebalik pembayaran yuran bernilai jutaan ringgit itu yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, ketika membacakan ucapan pembukaan pihak pendakwaan berkata, pernyataan tertuduh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) menyebut wang RM9.5 juta itu merupakan yuran guaman.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa wang berkenaan sebaliknya didepositkan ke dalam akaun peribadi Muhammad Shafee, bukannya firma guaman Tetuan Shafee & Co.

Ucapan pembukaan itu selanjutnya menyatakan, tertuduh atas kapasitinya sebagai peguam bela dan peguam cara telah menerima yuran guaman itu melalui dua transaksi.

Pembayaran pertama berjumlah RM4.3 juta diterima pada 5 September 2013 manakala pembayaran kedua sebanyak RM5.2 juta didepositkan pada 17 Februari 2014.

Kedua-dua cek didepositkan ke dalam akaun peribadi tertuduh di cawangan CIMB Bank Bukit Tunku berdekatan firma guamannya namun, beliau gagal melaporkan penerimaan wang itu kepada LHDN seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Berdasarkan keterangan yang dikemukakan, pihak pendakwaan akan membuat kesimpulan bahawa peguam terkemuka itu terlibat dalam aktiviti haram di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Afzainizam berkata, pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang tersenarai di bawah kesalahan berjadual dan kesalahan berat.

Ucapan pembukaan itu selanjutnya menyatakan, Muhammad Shafee dalam rakaman percakapannya menyatakan beliau dan bekas Perdana Menteri bersetuju bahawa wang itu adalah pinjaman yang diberikan Najib sementara menunggu rasionalisasi yuran yang perlu dibayar kepada tertuduh untuk melaksanakan khidmat guamannya.

Ujar pihak pendakwaan, peguam itu dalam satu kenyataan media bertarikh 8 September 2018 menyatakan bahawa wang RM9.5 juta itu merupakan yuran guaman yang terhutang sementara menunggu rasionalisasi kertas kerja seperti yang dipersetujui oleh Najib.

Muhammad Shafee dalam rakaman itu turut menyatakan beliau telah menyerahkan sekeping surat yang dikatakan dalam milik tertuduh sejak 12 September 2013 dan dikatakan mempunyai tandatangan Najib.

Namun demikian, pihak pendakwaan akan membuktikan berdasarkan keterangan ikut keadaan bahawa surat itu bukan dokumen yang sahih kerana ia cuma diwujudkan selepas 28 Julai 2017.

Selepas hampir tiga tahun kesnya ditangguhkan, hari ini merupakan hari pertama perbicaraan terhadap Muhammad Shafee yang menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram RM9.5 juta yang didakwa diterimanya daripada Najib dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada LHDN.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta lagi pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1) yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shafee juga didakwa atas dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Jika sabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara maksimum 1 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda daripada jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 28 Mei ini. – Utusan Online

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu