Nation
133

Shafie Apdal tinggalkan Istana Negara selepas menghadap Agong

Kuala Lumpur – Siri pertemuan kedua pemimpin-pemimpin politik menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berakhir dengan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beliau dilihat meninggalkan Istana Negara melalui Pintu 2 pada pukul 4.21 petang menaiki kereta Range Rover berwarna hitam.

Sama seperti tiga pemimpin politik lain iaitu Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berjumpa Seri Paduka hari ini, Shafie juga tidak berjumpa petugas media yang sudah berkumpul di bahu jalan di hadapan Istana Negara.

Semalam, Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mat Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tiba di Istana menghadap Seri Paduka.

Manakala pemimpin UMNO pula dikatakan akan dipanggil pada esok dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerima jemputan menghadap Seri Paduka pada 14 Jun – hari terakhir sekatan pergerakan penuh oleh kerajaan.

Setakat ini, tujuan menghadap Seri Paduka masih belum terjawab dan cakap-cakap pembentukan kerajaan baharu tidak berbangkit sama sekali selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Seri Paduka. — Utusan Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu