Nation
570

Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol pembantu rumah

Ipoh – Pegawai penyiasat dalam kes Paul Yong Choo Kiong memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa siasatan mendapati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu telah merogol pembantu rumahnya.

ASP Yap Siew Cheng, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, berkata beliau telah menjalankan siasatan dengan lengkap dari pelbagai sudut iaitu di tempat kejadian, rakaman percakapan saksi dan semakan dengan pihak telekomunikasi.

“Hasil siasatan mendapati segala maklumat yang dimaklumkan oleh mangsa, saya telah buat siasatan dan semakan dengan pihak telco dan Kedutaan Besar Republik Indonesia mendapati masa serta tarikh yang dimaklumkan adalah sama,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Azlina Rasdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Yong, saksi pendakwaan ke-23 itu tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Yong tidak merogol mangsa dan cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya direka kerana dia ingin pulang ke Indonesia serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah.

Bagaimanapun, Yap bersetuju dengan cadangan Rajpal bahawa terdapat dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada tertuduh dan keluarganya berdasarkan perbandingan.

Katanya beliau tidak menjalankan siasatan bagi mengetahui pemilik DNA itu.

Yap juga berkata terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ di dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

Saksi itu berkata beliau telah merujuk laporan pemeriksaan perubatan mangsa di negara asalnya bertarikh 8 April 2019 sebelum mula bekerja di rumah tertuduh pada Mei tahun sama dan bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tiada laporan perubatan spesifik atau pakar untuk mengesahkan keadaan mental wanita tersebut ketika kejadian.

Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya seorang warga Indonesia di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu