Social
130

Siasatan kes Awie langgar SOP belum selesai : Polis

Melaka – Tiada sebarang kompaun dikeluarkan terhadap kes siasatan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 melibatkan penyanyi rock Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, dalam progam misi kemanusiaan di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah berkata ini kerana kes berkenaan masih dalam siasatan, dan proses mengambil keterangan semua indivdu yang diterlibat dalam kes pelanggaran SOP di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah di sini, sedang dilakukan.

Beliau berkata setakat ini, pegawai penyiasat telah ke rumah Awie di Ampang, Kuala Lumpur, semalam untuk mengambil keterangannya dan penganjur program tersebut iaitu pihak hotel berkenaan juga telah diambil keterangan.

“Hanya beberapa individu daripada persatuan beca yang terlibat dalam program itu masih belum dipanggil, dan ia akan dilakukan secepat mungkin bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Kita tidak tuduh beliau lagi (Awie) kerana siasatan belum selesai. Tindakan dan arahan dari Timbalan Pendakwa Raya pun belum kita perolehi, jadi macam mana bayaran saman itu dibayar?” katanya pada sidang akhbar berkaitan perkembangan Covid-19 di Melaka di sini hari ini.

Hari ini media melaporkan pengurus Awie Mubarak Akhtar mendakwa, penyanyi berkenaan telah membayar saman atas pelanggaran SOP yang dilakukan artis berkenaan baru-baru ini.

Semalam, media turut melaporkan Polis Melaka akan memanggil beberapa individu, termasuk selebriti itu bagi membantu siasatan berhubung kes melanggar SOP, ketika mengambil bahagian dalam satu progam misi kemanusiaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata sebanyak 39 anggota, pegawai dan kakitangan awam polis Melaka serta ahli keluarga mereka dilaporkan positif COVID-19, dalam tempoh 1 Jan hingga semalam.

Beliau berkata mereka terdiri daripada tiga pegawai kanan, tujuh pegawai rendah, enam kakitangan awam polis dan 23 ahli keluarga mereka.

“Secara keseluruhan, sebanyak 297 anggota, pegawai dan kakitangan awam polis Melaka serta ahli keluarga mereka dikuarantin dan sehingga kini, sebanyak 294 orang telah tamat kuarantin,” katanya.

Sementara itu, Polis Melaka telah mewujudkan pusat panggilan, bagi menjawab semua persoalan rakyat berhubung kekeliruan SOP terbaharu yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, rakyat negeri itu boleh menghubungi pusat panggilan berkenaan di talian 06-2854222 (sambunga 4156) yang beroperasi selama 24 jam. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu