Nation
247
0

Siasatan menyeluruh kes kematian dalam lokap – Ketua Polis Kedah

Alor Setar – Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh kes kematian orang kena tahan (OKT) yang juga bekas sukarelawan polis ketika dalam tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, 28 Januari lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan, berkata siasatan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud elemen kekerasan, kecuaian, salah laku pegawai dan anggota yang terbabit selain kecederaan yang mungkin berlaku akibat pergelutan semasa penahanan.

“Sehingga kini, 47 saksi sudah dipanggil dan dirakam percakapan. Mereka adalah ahli keluarga, pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam tangkapan serta pegawai dan anggota polis yang menjaga lokap.

“(Turut dirakam percakapan) OKT lain yang ada bersama dalam lokap semasa lelaki ditahan dan juga pegawai perubatan Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah, di sini,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata, OKT itu, Muhammad Afis Ahmad ditahan pada 27 Januari lalu, mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan berkaitan kes curi dan menyamar sebagai anggota polis.

Hasanuddin berkata, ketika tangkapan dibuat lelaki itu bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis, yang menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian muka, telinga dan dahi.

“Pada jam 12.30 tengah malam 28 Januari, lelaki berkenaan didapati tidak sedarkan diri dan dihantar ke Hospital Yan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 1.10 pagi,” katanya.

Beliau berkata, bedah siasat oleh pakar patologi Hospital Sultanah Bahiyah keesokan harinya (29 Januari) , mengenal pasti punca kematian disebabkan oleh ‘blunt force trauma’ di bahagian kepala. Bagaimana pun laporan penuh bedah siasat itu belum diperoleh.

Katanya, OKT sebelum itu pernah berkhidmat sebagai sukarelawan polis di IPD Kuala Muda antara 2013 dan 2014 sebelum ditamatkan perkhidmatan kerana terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Dia juga sebelum ini pernah ditahan lapan kali erana dadah dan jenayah serta pernah dikenakan hukuman oleh mahkamah… pihak polis akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu