Nation
103

Sidang Parlimen dalam fasa ketiga wajar : Saifuddin

Putrajaya – Cadangan persidangan Parlimen diadakan pada September atau Oktober iaitu dalam fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara adalah wajar kerana negara masih dalam tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata dalam fasa ketiga itu juga sektor sosial dibuka secara berperingkat.

“Apa yang disebut Perdana Menteri adalah perkara yang wajar kerana kalau ikut jadual hari ini kita berada dalam darurat sehingga 1 Ogos dan dalam Pelan Pemulihan Negara, Ogos masih dalam fasa kedua,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai Pelan Pemulihan Negara hari ini.

“Mengapa September atau Oktober? Saya fikir beliau merujuk kepada fasa ketiga dan ketika itu sektor sosial dah mula dibuka secara berperingkat. Jadi memang tepat apa Perdana Menteri sebutkan Sidang Dewan Rakyat boleh diadakan pada September atau Oktober,” tambah Saifuddin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam memberi komitmen bahawa sidang Parlimen boleh diadakan dalam fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara iaitu sekitar September atau Oktober ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Muhyiddin berkata ia adalah pendiriannya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes COVID-19 terkawal dan hampir mencapai imuniti berkelompok.

Saifuddin berkata terdapat sekurang-kurangnya tiga pandangan bagaimana persidangan Parlimen boleh dilakukan iaitu secara fizikal dalam Dewan, hibrid dan maya.

“Saya tahu beberapa mazhab tentang maksud sidang Dewan Rakyat. Satu ialah yang menyatakan sidang Dewan Rakyat itu mesti diadakan secara berdepan di dalam Dewan Rakyat dan pandangan ini berpegang kepada ‘Standing Order’ (Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat) yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berpandangan pindaan harus dilakukan kepada Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya Sidang Parlimen dapat dibuat secara hibrid atau maya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 4 Jun lalu dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara secara hibrid bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu