Social
165
0

Sindiket pelaburan saham guna WeChat tumpas

Georgetown – Polis membongkar satu sindiket pelaburan saham antarabangsa disyaki tidak wujud dengan menyasarkan pelabur dari negara China selepas menyerbu dua rumah tiga tingkat di Batu Feringghi, di sini Sabtu lalu.

Seramai 21 suspek terdiri daripada 13 warga tempatan dan lapan warga China diberkas dalam serbuan mulai pukul 7 malam itu.

Operasi tersebut dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan anggota Balai Batu Feringghi.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan berkata, tangkapan ke atas kesemua suspek terbabit dibuat selepas penahanan dua lelaki warga tempatan dan China dalam sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Batu Feringghi.

Katanya, kedua-dua suspek yang menaiki kereta jenis Honda City itu ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

“Susulan penahanan suspek terbabit membawa polis ke dua buah rumah di Batu Feringghi dan hasil pemeriksaan lanjut menahan seramai 21 suspek terdiri 12 lelaki dan seorang wanita tempatan serta lapan suspek termasuk tiga wanita warga China.

“Siasatan awal mendapati, sindiket yang berperanan sebagai operator itu mula aktif di Pulau Pinang sejak dua bulan lalu dengan menawarkan pelaburan saham melalui aplikasi WeChat,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, di sini hari ini.

Turut dirampas sebanyak 453 unit telefon bimbit; 19 unit komputer riba; seunit Ipad, lima kabel komputer; dua buah kereta dan set kunci.

Sahabudin memberitahu, hasil siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit masih dalam proses pengiklanan dan mengemas kini harga pasaran saham.

“Operasi yang dijalankan di Malaysia adalah bagi tujuan mengelak dikenakan hukuman mengikut undang-undang China memandangkan mangsa adalah dalam kalangan warga terbabit.

“Kita masih menyiasat penglibatan mangsa dari negara ini termasuk jumlah keuntungan daripada pelaburan diperoleh termasuk transaksi dibuat.

“Setakat ini, belum ada laporan polis membabitkan mangsa di negara ini dan sindiket juga dipercayai menjalankan kegiatan sama di negeri lain,” ujarnya.

Menurutya, suspek dipercayai menerima bayaran gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan.

Jelasnya, empat daripada lapan warga negara China itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ke negara ini.

Tambahnya, kesemua mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63. – Utusan Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu