Social
129
0

Sindiket tanam dadah di kawasan rumah dibongkar

Marang – Polis membongkar taktik licik sindiket pengedaran dadah yang dikesan menanam bahan terlarang itu di kawasan rumah dalam serbuan di Kampung Jambu Bongkok, Merchang, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan jam 1 pagi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM500,000 dan wang tunai RM42,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung, berkata berdasarkan maklumat dan risikan sepasukan anggota menahan pasangan tunang berusia 22 dan 21 tahun.

Beliau berkata, suspek lelaki ditahan di tepi jalan di kampung berkenaan kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil soal siasat membawa serbuan ke rumah suspek, sebelum polis menemui pelbagai jenis dadah iaitu 2051.90 gram (g) syabu, 1096.80g heroin, 899g pil kuda dan 4,500 mililiter kodien.

“Suspek turut menunjukkan dadah jenis syabu yang ditanam di dalam empat lubang dalam tanah di sekitar rumah sewanya dan dipercayai baru memperoleh bekalan itu minggu lalu dari negeri jiran untuk pasaran Terengganu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini, hari ini.

Selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta Suzuki Swift, motosikal dan barangan perhiasan.

Ming Kung berkata, siasatan mendapati dadah yang dirampas mampu membekalkan kepada lebih 24,000 penagih dan suspek dipercayai mula terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak hujung tahun lalu.

“Suspek juga mempunyai tiga rekod jenayah lalu berkaitan dadah, manakala tunangnya tiada sebarang rekod.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu