Social
312

Sindiket tawar khidmat pelacuran menerusi Telegram diserbu polis

Kuala Lumpur – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan empat wanita warga asing kerana disyaki menawarkan kegiatan pelacuran menerusi aplikasi Telegram di sebuah hotel di Jalan Merdeka Permai, Ampang di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai pengurus kepada keempat-empat wanita berusia lingkungan 27 hingga 33 tahun yang menjalankan aktiviti pelacuran.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi kira-kira sebulan dengan menawarkan perkhidmatan pelacuran melalui aplikasi media sosial iaitu Telegram.

“Pelanggan akan membuat pembayaran secara dalam talian sebelum memperoleh maklumat hotel dan bilik dengan setiap perkhidmatan seks ditawarkan pada harga RM180 sejam.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan di bawah Seksyen 372/372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peratuan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 serta suspek lelaki tersebut dikenakan tindakan kompaun,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata turut dikenakan kompaun ialah pengurus hotel kerana melanggar Prosedur Operasi Standard iaitu hotel serta tempat penginapan hanya dibenarkan bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan untuk tujuan pelancongan atau apa-apa aktiviti yang dilarang. — Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu