Nation
136

Singapura diharap pertimbang SOP dicadangkan untuk pembukaan sempadan

Muar – Kerajaan Singapura diharap mempertimbangkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung pembukaan sempadan Malaysia-Singapura, yang telah dikemukakan Kerajaan Negeri Johor dan dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata apabila kebenaran rentas negeri telah dibenarkan di Malaysia baru-baru ini, ia sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu.

“(Mereka pastinya bertanya) mengapa mereka tidak boleh balik, tak boleh merentas negeri dan negara kita (untuk balik).

“Sama ada (kes) meningkat atau tidak di Singapura … itu tidak sepatutunya menghalang Singapura daripada duduk berbincang dengan Johor dan Kerajaan Malaysia (berhubung pembukaan sempadan),” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra bersama komuniti pesawah padi Sungai Balang, dekat sini semalam.

Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula semalam, berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.

Perdana Menteri turut mengumumkan berkuat kuasa semalam rakyat, Malaysia yang lengkap menerima vaksin COVID-19 dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa MyTravelPass (MTP) Jabatan Imigresen.

Hasni berkata sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ada memaklumkan pihaknya telah berbincang dengan Singapura, dan republik itu ada meminta diberikan masa untuk mereka mengurangkan kes positif COVID-19 di negara itu terlebih dahulu, sebelum memulakan perbincangan berhubung pembukaan sempadan.

“(Tetapi) saya berpendapat apa sahaja keadaannya di Singapura, yang penting kita (rakyat Malaysia) dah terima vaksin lengkap. Itu yang lebih penting. Pada saya sama ada kes naik atau turun bukanlah satu isu. Maksud saya Singapura saya percaya mengiktiraf perkara itu (kadar vaksinasi).

“Dengan vaksinasi penuh, kita perlu hidup dengan COVID-19. Jadi saya harap, kalau itu (vaksinasi) dapat diterima, pembukaan sempadan ini akan dapat dibuat,” kata Hasni ketika mengulas mengenai sama ada perbincangan pembukaan sempadan sudah dimulakan.

Terdahulu, Hasni memulakan lawatan ke daerah berkenaan dengan melawat bangunan baharu Majlis Perbandaran Muar yang sedang dalam pembinaan dan seterusnya menyertai sesi libat urus bersama kepimpinan Daerah Muar sempena Belanjawan Johor 2022.

Beliau turut melancarkan Program Penjernihan di Parit JPS Sungai Tiram yang merupakan inisiatif ‘Low Carbon Society’ – Rancangan Tempatan Daerah Muar serta merasmikan Restoran Terapung Komuniti Nelayan Parit Tiram serta melihat penternakan kupang di situ.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu