Social
121
0

Singapura lapor dua kes positif jangkitan awal strain B117

Singapura – Singapura melaporkan dua kes jangkitan awal yang positif bagi strain B117, satu varian Covid-19 yang berpotensi lebih menular dan kini merebak di United Kingdom (UK), demikian menurut Kementerian Kesihatan republik (MOH) itu.

Menerusi data lengkap yang dikeluarkan di sini, MOH berkata kes pertama itu dilabel sebagai 58811 membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 40 tahun yang bekerja sebagai juruterbang dengan Singapore Airlines.

Beliau telah melakukan perjalanan ke UK baru-baru ini untuk bertugas selama tiga hari mulai 19 Disember dan menjalani ujian saringan pada 23 Disember sebagai sebahagian daripada Ujian Rutin Berjadual (RRT) bagi kru udara yang sering melakukan perjalanan dan hasilnya adalah negatif bagi jangkitan Covid-19.

Pada 26 Disember lepas, beliau demam dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik umum serta menjalani ujian calitan pada keesokan harinya.

Tiga hari kemudian, hasil ujian itu didapati positif Covid-19 dan beliau dirujuk ke Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

“Keputusan ujian serologi beliau adalah negatif yang menunjukkan kemungkinan terdapat jangkitan semasa. Beliau juga didapati positif jangkitan awal bagi strain B117,” menurut kementerian itu sambil menambah bahawa ujian lanjut akan dilakukan bagi mengesahkan strain itu.

Menurut MOH, kes kedua dilabelkan sebagai 58809 merupakan seorang pemegang pas kerja yang tiba dari UK pada 7 Disember lepas dan diletakkan di bawah Notis Duduk Di rumah (SHN) di sebuah kemudahan yang ditetapkan sejurus tiba di Singapura.

Lelaki berusia 53 tahun dari UK itu menamatkan SHNnya pada 21 Disember namun mula mengalami sakit badan pada keesokan harinya dan gejala Jangkitan Pernafasan Akut (ARI) pada 25 Disember lepas.

“Beliau telah mendapatkan rawatan perubatan tiga hari kemudian dan menjalani ujian calitan bagi Covid-19. Keputusan ujiannya positif pada 29 Disember dan beliau kemudian dirujuk kepada NCID.

“Keputusan ujian serologinya adalah positif dan beliau juga didapati positif jangkitan awal bagi strain B117 serta masih menunggu ujian pengesahan lanjut,” menurut kementerian itu.

Setakat tengah hari semalam, republik itu melaporkan sebanyak 27 jangkitan baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 58,569. ― Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu