Nation
209

Sisa buangan terjadual di Sungai Tawakal dipercayai dibawa dari lokasi lain : Polis

Johor Bahru – Sisa buangan terjadual yang menyebabkan pencemaran di Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman, Kempas di sini Selasa lepas dipercayai dibawa masuk ke kawasan berkenaan dari lokasi berasingan.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata perkara itu bagaimanapun sedang dalam siasatan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Beliau berkata soal siasat sedang dilakukan terhadap sembilan lelaki yang direman termasuk seorang pemilik premis berhampiran sungai itu.

“Kita masih lagi membantu dan bekerjasama dengan JAS dan mungkin akan ada operasi susulan. Kita percaya bahan kimia terbuang ini dari lokasi lain.

“Setakat ini hanya satu premis sahaja yang kita serbu hari itu. Sebab itu, kita perlu buat operasi susulan. Insya-Allah kita akan kenal pasti dengan JAS bagaimana bahan-bahan buangan ini dibawa untuk dibuang,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Dalam kejadian 10 malam Selasa lepas, empat wanita sesak nafas manakala 102 penduduk daripada 25 keluarga di kampung berkenaan dipindahkan susulan terhidu bau dipercayai berpunca daripada sisa buangan terjadual.

Pengarah JAS Johor Dr Mohd Famey Yusoff dilaporkan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu