Nation
536

Sistem e-Tanah kerjasama awam-swasta diperluas ke beberapa negeri : PM

Kuala Lumpur – Sistem e-Tanah yang dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta (PPP) akan diperluaskan ke beberapa negeri selepas terbukti berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia akan diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan dengan sistem berkenaan dijangka selesai dibangunkan dan boleh diguna pakai sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2024.

“Saya difahamkan, perjanjian konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai pada hari ini,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Tanah Negara 2021 yang bertemakan “Mendepani Cabaran Pasca COVID-19 dalam Pentadbiran Tanah” secara maya, hari ini.

Muhyiddin yang turut melancarkan peluasan Sistem e-Tanah secara PPP bersempena sambutan berkenaan berkata semenjak inisiatif pemodenan perkhidmatan pentadbiran tanah dijalankan seawal tahun 1980, pentadbiran tanah terus diperkemas dan dipermodenkan seiring perkembangan teknologi terkini dan Kerajaan Persekutuan pada 2014 telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem e-Tanah secara PPP.

Sistem e-Tanah adalah inisiatif yang melibatkan kolaborasi di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat swasta, bertujuan bagi menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu