Nation
321

Siti Sarah selamat dikebumikan

Kuala Lumpur – Jenazah penyanyi Siti Sarah Raissuddin selamat dikebumikan pada jam 1.45 tengah hari, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak di sini hari ini.

Proses pengebumian Allahyarham dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah pesakit COVID-19 oleh petugas hospital, dibantu oleh suaminya Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham ditayammum dan disolatkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, kira-kira jam 11 pagi.

Penyanyi berusia 37 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19 di hospital itu pada jam 5.13 pagi dan berita pemergian Siti Sarah dimaklumkan oleh Shuib di Instagramnya awal pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi pintu masuk ke tanah perkuburan, apabila van yang membawa jenazah tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ia disambut oleh ahli keluarga, kenalan dan peminat yang hadir sejak awal pagi bagi memberikan penghormatan terakhir walaupun terpaksa melihat proses pengebumian dari luar kawasan tanah perkuburan berikutan SOP yang ditetapkan.

Siti Sarah dan Shuib sekeluarga disahkan dijangkiti COVID-19 sejak 25 Julai, selepas menjalani ujian saringan apabila pembantu rumahnya disahkan positif wabak berkenaan.

Allahyarham yang hamil tujuh bulan dimasukkan ke HCTM pada petang Rabu lepas apabila mengalami batuk yang teruk dan kekurangan oksigen dalam badan.

Pelantun lagu ‘Kesetiaan’ dan ‘Semakin’ itu kemudian dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), selepas keadaan kesihatannya semakin merosot dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bayi dalam kandungan yang diberi nama Ayash Affan pada petang Jumaat.

Pasangan selebriti itu berkahwin pada 2011, memiliki tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10; Dzahira Talita Zahra, 8; dan Ariq Martin, 6.

Siti Sarah memulakan kerjaya dalam bidang nyanyian selepas menyertai program Bintang RTM 2001 dan pernah memenangi anugerah Artis Baharu Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) 2003.

Anak kepada penyanyi veteran Raisuddin Hamzah itu, pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa World Championship of Performance Arts (WCOPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2009 dan membawa pulang tiga pingat emas, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu