Nation
123

Skim RGL Malaysia-Singapura digantung sementara

Kuala Lumpur – Malaysia menggantung sementara Skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) Malaysia-Singapura di peringkat Malaysia bermula 13 Mei, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Justeru itu beliau berkata, pengembara dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan, perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan oleh Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA).

Beliau berkata, langkah itu diambil susulan penyenaraian Singapura sebagai sebuah daripada negara yang melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARSCoV-2 dalam komuniti, oleh Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Ia berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura, iaitu laporan kes berkenaan melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1) termasuk Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1,” katanya dalam kenyataan media situasi semasa COVID-19 di Malaysia, hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata semua pengembara yang memasuki Malaysia dari Singapura dan pengembara yang menggunakan kemudahan Skim Aturan Perjalanan Berkala (PCA), perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang diwartakan kerajaan, mulai 13 Mei.

Pengembara dari Singapura juga, tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pengembara dari negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM), akan sentiasa mengemaskini senarai negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti, dan akan memaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa. – Bernama

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu