Kuala Lumpur Post

Social

SKMM kenal pasti individu dipercayai hina institusi diraja

KUALA LUMPUR — Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengenal pasti individu, yang dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina institusi diraja, khususnya institusi diraja Selangor.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata SKMM dengan kerjasama polis mendapati individu terbabit sangat bermasalah dengan lebih 20 kertas siasatan lampau dibuka terhadapnya, berkaitan kenyataan jelik sebelum ini.

“Saya telah minta SKMM mengambil tindakan yang keras dan bersepadu bersekali dengan polis, untuk kita pastikan kandungan yang jelik dan menghina institusi diraja tidak ada dalam platform Facebook. Saya difahamkan kandungan tersebut juga ada di TikTok.

“…jadi kita akan teliti beberapa tindakan yang perlu diambil, untuk pastikan Facebook dan platform lain memberi kerjasama yang baik dan pantas terutama dalam isu-isu melibatkan 3R (kaum, agama, institusi raja),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi.

Baru-baru ini, tular seorang individu yang dipercayai memuat naik video dengan mengeluarkan kenyataan jelik dan menghina institusi diraja Selangor.

Terdahulu, Fahmi ketika berucap pada perhimpunan tersebut meminta SKMM mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja menanamkan bibit-bibit perpecahan dan mengapi-apikan sentimen.

Pada masa sama, beliau meminta kerjasama semua agensi dalam Kementerian Komunikasi supaya menjadi ejen menjernihkan keadaan dan membantu mengembalikan keadaan yang tenang.

Selain itu, RTM perlu pertingkatkan kandungan serta bahan yang mengetengahkan aspek perpaduan dalam masyarakat.

“Ini penting kerana sewaktu bapa-bapa Kemerdekaan dan bapa-bapa Malaysia membentuk negara kita memperoleh kemerdekaan, tidak diidamkan satu suasana porak peranda dan berpecah belah.

“Kepelbagaian dan kerencaman kita sesungguhnya adalah satu kekuatan. Ramadan ini seharusnya mendidik kita juga untuk bertoleransi, sabar, ada had dan batas serta saling hormat menghormati,” katanya.

Mengenai isu lain, Fahmi berkata pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di peringkat Kementerian Komunikasi, termasuk agensi di bawahnya, mencapai hampir 99%.

Beliau berkata daripada peratusan itu, Institusi Penyiaran Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia mencapai 100% pendaftaran PADU.