Nation
618

Sokongan pada syarikat Peter, UMS hantar surat nafi pada Najib

Kuala Lumpur – Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menghantar surat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan telah memberi sokongan kepada syarikat milik Datuk Peter Anthony agar syarikat itu diberikan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem mekanikal dan ektrikal (M&E) di universiti berkenaan.

Najib ketika itu adalah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Merujuk kepada surat penafian bertarikh 26 Nov 2014 yang dikeluarkan UMS, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Raja Mohd Shasrizam Raja Nik berkata penafian itu berikutan tindakan dua pegawai UMS mengeluarkan surat sokongan kepada Syarikat Asli Jati Engineering Sdn Bhd, milik Peter, bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Katanya, surat penafian itu turut menyatakan bahawa UMS sedang mengambil tindakan disiplin terhadap bekas Pengerusi Ulink Property Sdn Bhd Datuk Abdullah Mohd Said serta bekas Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS Prof Dr Shariff Abd Kadir Shariff Omang kerana mengeluarkan surat-surat sokongan tanpa pengetahuan Naib Canselor UMS ketika itu, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Surat itu dikemukakan peguam Munawar Kabir Mohd Zainal Abidin, yang mewakili Peter kepada saksi pendakwaan ke-11 itu pada hari ketujuh perbicaraan kes Peter yang berdepan pertuduhan menggunakan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem berkenaan.

Pada 8 April lepas, saksi pendakwaan kesembilan, Abdullah, 66, memberitahu mahkamah bahawa beliau berasa ditipu oleh Peter berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di UMS itu serta telah dikenakan tindakan tatatertib dan didenda oleh pihak pengurusan UMS selain dipindahkan jawatan.

Abdullah berkata tujuan sebenar mereka (pihak universiti dan syarikat milik Peter, Asli Jati Engineering Sdn Bhd) bekerjasama adalah berkenaan ‘smart partnership’ tetapi yang diluluskan adalah penyambungan kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem M&E kepada Asli Jati.

Program ‘smart partnership’ atau perkongsian pintar itu merupakan hasrat Peter untuk Ulink Property dan Asli Jati menjalin kerjasama, dengan syarikat tersebut akan membina bangunan di UMS Urban Transformation Centre (UTC) secara tanggungjawab sosial koporat (CSR) bagi kemudahan pelajar universiti menjalani latihan kemahiran, kursus jangka pendek dan lain-lain kursus.

Sebelum ini, Shariff, 66, saksi pendakwaan kelapan memberitahu mahkamah bahawa Peter juga telah memperdayakannya dengan meminta beliau menandatangani dua surat sokongan yang sepatutnya berkaitan program perkongsian pintar, namun surat yang ditandatangani adalah surat penyambungan tender.

Peter, 50, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 19 Mei depan dengan Najib dipanggil menjadi saksi. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu