Nation
665

SOP bazar Ramadan akan teratur dalam masa 5-6 hari : Zuraida

Banting – Prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan akan lebih teratur dan tersusun dalam masa lima hingga enam hari dengan melibatkan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata PBT hanya perlu menggunakan SOP sedia ada iaitu penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Itu menjadi perkara-perkara asas yang mereka (pengunjung dan peniaga) harus ikut, yang diaturkan bagi peraturan di bazar-bazar Ramadan,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan rasmi ke Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di sini hari ini.

Zuraida berkata bazar Ramadan tahun ini dapat diadakan dalam norma baharu setelah penganjurannya dibatalkan tahun lepas dan semestinya peniaga dan pengunjung teruja kerana dapat mengunjungi bazar untuk membeli juadah berbuka puasa.

“Saya juga mengakui ada gambar-gambar tular yang nampak tidak ikut SOP terutama dari segi penjarakan fizikal. Ini adalah hari pertama dan kedua, rakyat masih baru dapat ke bazar, jadi mereka teruja…saya percaya dalam masa lima ke enam hari insya-Allah ia akan dapat menjadi lebih teratur dan tersusun.

“Dengan adanya penguatkuasaan di peringkat PBT, ia akan dapat dikawal dengan lebih baik,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru agar MPKL aktif menggalakkan penduduk di Kuala Langat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu