Nation
142

SOP PKP tidak statik tetapi bersifat dinamik : Muhyiddin

Kuala Lumpur – Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah tidak statik tetapi bersifat dinamik mengikut perkembangan semasa penularan jangkitan COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebarang keputusan untuk melaksanakan sekatan pergerakan atau ‘lockdown’ ditetapkan oleh MKN selepas rundingan melibatkan pelbagai pihak mengikut keperluan menangani situasi pandemik COVID-19.

Justeru, katanya, berlaku perubahan dalam penetapan SOP dari semasa ke semasa adalah tertakluk kepada perubahan situasi jangkitan itu sendiri.

“Ikut keadaan situasi yang memerlukan kita membuat pelarasan untuk menangani situasi yang berbeza-beza. Contoh (sebelum ini) dibenarkan restoran menerima pelanggan masuk makan. Kemudian tidak boleh pula.

“Saya minta maaf kalau ada yang agak keliru. SOP tidak dibuat oleh MKN sewenang-wenang,” katanya,” dalam program Bicara Khas Cabaran Pandemik COVID-19 Eksklusif Bersama YAB Perdana Menteri yang disiarkan RTM dan Bernama TV malam Ahad.

Muhyiddin berkata beliau memahami rungutan rakyat yang melihat seolah-olah SOP berubah-ubah namun ia disebabkan oleh situasi keadaan COVID-19 itu sendiri yang berubah.

Beliau menegaskan pelaksanaan SOP diputuskan dalam mesyuarat yang turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, selepas diwartakan dan dikuatkuasakan, SOP berkenaan diumumkan kepada orang ramai supaya semua pihak mengetahuinya.

”Kalau tidak faham juga boleh tanya dan kita sudah minta menteri-menteri untuk beri penjelasan, pegawai-pegawai beri penjelasan. Pemimpin masyarakat yang ada program empowerment (pemerkasaan) pun sudah diberi penerangan supaya mereka bantu menjelaskan situasi dan keadaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menjelaskan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk meminta mengubah SOP kerana kuasa terletak kepada kerajaan Persekutuan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) Kementerian Kesihatan atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Mengenai ketidakpatuhan SOP, Perdana Menteri berkata setiap tindakan diambil adalah berlandaskan undang-undang yang diwartakan tanpa mengira status seseorang itu.

“Apa kuasa hendak tangkap atau kenakan kompaun RM10,000? Pasal itu SOP bersandarkan undang-undang dan diwartakan. Kalau tidak diwartakan, tidak sah. Ini cerita yang tidak ramai orang tahu.

“Sebab itu kalau kerajaan buat keputusan hendak buat SOP, selagi tidak diwartakan ia belum boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan individu yang ‘kebal’ dan kewujudan dua darjat dalam penguatkuasaan SOP, Muhyiddin berkata, tidak ada dwistandard dalam pelaksanaan dasar kerajaan.

“Kerajaan tidak kira siapa. Menteri ke Perdana Menteri, siapa yang melanggar (SOP) dan memang nyata ada bukti-bukti ikut undang-undang maka mereka tidak akan terlepas daripada dikenakan hukuman, kompaun, charge (pendakwaan) dan sebagainya,”katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata dengan jumlah 30 juta penduduk Malaysia, pihak berkuasa juga tidak dapat memantau jumlah yang begitu ramai itu dan ada yang akan dilihat seolah-olah terlepas daripada hukuman.

Oleh itu, Perdana Menteri meminta rakyat supaya elak daripada melakukan kesalahan mengingkari SOP kerana ia dibuat bukan untuk menyekat kebebasan termasuk hak asasi manusia.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya memberi kerjasama dengan mematuhi SOP demi menjamin kesejahteraan semua dalam membendung penularan jangkitan COVID-19. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu