Kuala Lumpur Post

Nation

Speaker Dewan Negara Datuk Mutang Tagal meninggal dunia

KUALA LUMPUR — Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal meninggal dunia pada jam 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan berkata, Mutang menerima rawatan di IJN sebaik tiba di Malaysia pada 6 Mei dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

“Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian.

“Keluarga mendiang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah, doa dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam menghadapi masa yang sukar ini,” kata kenyataan itu.

Mutang, 70, Ahli Parlimen Bukit Mas dari 1982 hingga 1990, dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 pada 19 Februari lalu, sekali gus menjadikan beliau pemimpin pertama etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan itu.

Beliau mempunyai latar belakang pendidikan dan praktis di dalam bidang perundangan.

Beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.