Kuala Lumpur Post

klpost-minify__1_-removebg-preview
Nation

SPRM : Kartel kontraktor, penjawat awam seleweng projek kerajaan

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan wujud sindiket dan kartel monopoli antara penjawat awam dan kontraktor swasta bagi menyeleweng wang daripada projek kerajaan.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khasnya, Tan Kang Sai berkata berkata, kes penyelewengan itu menarik perhatian ramai pihak kerana individu yang terbabit bukan setakat kakitangan peringkat bawahan malah turut membabitkan pegawai berpangkat kanan di sektor awam.

Menurutnya, tidak terkecuali pegawai penguatkuasa dengan penerimaan suapan berbentuk wang tunai dan barangan bernilai.

“Berdasarkan fakta kes, didapati tidak cukup dengan suapan yang diterima, malah, semakin tinggi nilai projek, semakin besar habuan yang mereka (penjawat awam) akan terima.

“Jika diimbau kembali kes-kes berkaitan yang pernah disiasat oleh SPRM, isu sedemikian didapati sudah lama wujud.

“Modus operandi penyelewengan yang menyebabkan ketirisan dana kerajaan dilakukan secara segerombolan dalam kelulusan kontrak projek kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Tan berkata, pada Oktober lalu, SPRM menahan 11 individu termasuk anggota polis dan penjawat awam kerana disyaki terbabit sindiket pengurangan saman trafik sejak 2016 membabitkan transaksi wang lebih RM5 juta.

Katanya, pada September, SPRM menyerbu pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi menjalankan siasatan berkaitan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.

Susulan serbuan itu, kata beliau sejumlah lapan individu iaitu tujuh pegawai MBSA dan seorang kontraktor ditahan reman untuk membantu siasatan kes itu.

“Mereka dipercayai bersekongkol bersama syarikat kontraktor yang juga sindiket kartel projek bagi membolot projek bernilai puluhan juta ringgit di sekurang-kurangnya empat daerah di Selangor sejak 2012 lagi.

“Fakta kes menunjukkan pegawai daerah di Selangor itu dipercayai menerima suapan dengan anggaran melebihi RM100,000 dalam pelbagai bentuk seperti wang tunai, pengubahsuaian rumah, deposit kereta dan bayaran perubatan,” katanya

Justeru, katanya SPRM menyambut baik ketegasan kerajaan baru di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengizinkan berlakunya ketirisan dan rasuah dalam setiap urusan pentadbiran.

“Ini termasuk soal peraturan dan kelulusan perolehan tanpa tender yang tidak lagi dibenarkan,” katanya.

Beliau menegaskan menerusi beberapa kes pembongkaran jelas menunjukkan ada keperluan melakukan penambahbaikan terhadap tatacara atau sistem dan prosedur dalam pemberian projek di sektor awam.

Katanya, langkah itu bagi menutup ruang dan peluang rasuah, khususnya projek mega yang membabitkan kepentingan awam.

Ini kerana, katanya sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dari peringkat akar umbi, ia bukan saja mencalarkan imej penjawat awam secara menyeluruh malah akan menjejaskan pembangunan serta ekonomi negara.

Dalam masa yang sama, katanya bagi memastikan isu kartel projek diatasi khususnya dalam sektor awam, setiap pihak perlu memainkan peranan penting iaitu menjadi mata dan telinga kepada SPRM.

Ini kerana katanya tanpa maklumat yang disalurkan, sukar bagi agensi itu untuk mengambil tindakan selanjutnya untuk mengekang aktiviti berkenaan.

“Perlu diingatkan bahawa kegagalan untuk melaporkan rasuah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan kegiatan rasuah kepada SPRM kerana suruhanjaya ini akan sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberi.

“Identiti pemberi maklumat juga akan dilindungi serta tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa jua keadaan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.,” katanya

Beliau berkata, laporan, aduan atau maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana pejabat SPRM yang berdekatan, atau orang ramai boleh menggunakan tiga kemudahan platform aduan yang disediakan talian bebas tol, lapor Harian Metro.

Tags: , , ,