Kuala Lumpur Post

Nation

SPRM nafi tidak keluarkan notis kepada Justin untuk tampil bantu siasatan

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan yang mereka tidak pernah mengeluarkan sebarang notis kepada Ketua Pegawai Eksekutif Sersol Bhd Datuk Justin Lim Hwa Tat, untuk tampil membantu kes siasatan SPRM.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, suruhanjaya tersebut telah berusaha mengesan Lim dengan pergi ke dua buah kediamannya di Kuala Lumpur pada 26 Jun untuk menyerahkan notis, namun salah sebuah premis tersebut telah dijual manakala sebuah lagi tidak dihuni olehnya.

Pada hari sama (26 Jun), SPRM juga telah pergi ke pejabatnya di ibu negara dan Johor, namun Lim tiada di lokasi tersebut.

SPRM dalam kenyataan itu memaklumkan, hasil semakan dengan Jabatan Imigresen juga mendapati Lim telah meninggalkan negara pada Februari lepas, serta tiada rekod masuk kembali ke negara ini.

“Sehubungan itu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media pada 12 Julai 2023 yang lengkap dengan nombor telefon serta emel pegawai penyiasat bagi mengesan Justin (Lim) dan kenyataan itu merupakan notis yang rasmi dan sah,” menurut kenyataan SPRM itu.

Lim dalam satu kenyataan semalam (23 Julai) mendakwa, tidak mendapat sebarang notis daripada SPRM selepas menyenaraikan dirinya sebagai individu yang dikehendaki bagi membantu dalam siasatan.

Lim juga dilaporkan berkata melantik Tetuan Gobind Singh Deo & Co untuk mewakili dirinya sebagai wakil undang-undang semasa proses siasatan.

Pada 13 Julai, Sersol Bhd menyatakan telah dihubungi SPRM untuk siasatan berkaitan pembayaran tertentu yang dibuat oleh syarikat itu kepada pihak ketiga, yang telah diluluskan dan diarahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim.

Kenyataan SPRM itu memaklumkan, pihaknya bersedia untuk menerima sebarang tindakan undang-undang daripada Lim dalam hal berkenaan, namun menegaskan bahawa beliau perlu terlebih dahulu tampil memberi kerjasama dengan SPRM, berkaitan siasatan kes, lapor Bernama.

Tags: ,