Kuala Lumpur Post

Social

SPRM siasat perbelanjaan RM700 juta 2 bekas PM untuk promosi, publisiti

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya sedang menyiasat proses dan tatacara perbelanjaan kerajaan antara tempoh 2020 hingga 2022, yang menggunakan dana RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan, namun beliau tidak mengulas lanjut.

Sementara itu satu sumber berkata, semalam pasukan SPRM sudah ke Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai sebahagian proses siasatan.

Malah pihak SPRM juga sudah mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan hari ini.

“SPRM sudah memulakan siasatan awal berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022 ketika pentadbiran dua Perdana Menteri sebelum ini.

“Siasatan ini dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.

“Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan membelanjakan hingga RM700 juta untuk pengiklanan, promosi dan publisiti bagi menghebahkan agenda kerajaan bagi tempoh 2020 hingga 2022.

Perbelanjaan berkenaan digunakan dua pentadbiran terdahulu dalam menguar-uarkan pencapaian dan usaha kerajaan.

Terdahulu, SPRM dilaporkan berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengenai perbelanjaan itu, malah akan memanggil bekas pemimpin tertinggi kerajaan berhubung siasatan itu.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan beliau belum menerima sebarang panggilan daripada SPRM berhubung satu siasatan dijalankan agensi penguatkuasaan itu.

 

Tags: , ,