Kuala Lumpur Post

Nation

SPRM siasat secara telus, terperinci isu seleweng RM600 bilion

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan secara terperinci, telus dan profesional daripada semua sudut, berkaitan dakwaan penyelewengan perbelanjaan negara RM600 bilion.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mana-mana pihak yang mempunyai apa-apa maklumat, bukti atau dokumen yang berkaitan, diminta untuk tampil ke pejabat SPRM terdekat untuk menyerahkan maklumat itu.

“Sekiranya perlu, SPRM juga boleh menghantar pegawai untuk mengambil maklumat atau dokumen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19, pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu itu.

Anwar berkata Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu berkenaan.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat, susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan itu, ketika beliau mengetuai pentadbiran sebelum ini, lapor Bernama.

 

Tags: , ,